Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, (lahir 5 Mac 1951) ialah seorang kartunis Malaysia. Pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada tahun 2002 ini telah menerbitkan lebih daripada 20 jilid kartun semenjak berusia 13 tahun. Kebanyakan karya-karyanya menggambarkan suasana sosial dan politik Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah. Karya Lat yang paling terkenal ialah Kampung Boy (1979) yang diterbitkan dalam beberapa negara di serata dunia. Pada tahun 1994, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengurniakan gelaran Datuk kepada Lat sebagai pengiktirafan kepada jasa kartunis ini dalam membantu memupuk harmoni dan persefahaman sosial menerusi kartun-kartunnya.



Sebagai anak kelahiran kampung, Lat banyak menghabiskan zaman mudanya di luar bandar sebelum berpindah ke bandar sewaktu berusia 11 tahun. Sewaktu di sekolah, beliau menambah pendapatan keluarganya dengan menyumbangkan jaluran kartun kepada akhbar dan majalah. Beliau hanya berumur 13 tahun apabila beliau menjayakan komik terbitan pertamanya, Tiga Sekawan. Setelah gagal mencapai gred-gred yang memuaskan untuk melanjutkan pelajarannya selepas sekolah menengah, Lat menjadi seorang wartawan akhbar. Pada tahun 1974, beliau bertukar kerjaya menjadi kartunis editorial. Karya-karyanya yang mencerminkan pandangan dirinya terhadap hal-ehwal Malaysia dan dunia, sering disiarkan dalam akhbar kebangsaan seperti New Straits Times dan Berita Minggu. Beliau mengadaptasikan pengalaman hidupnya lalu menerbitkannya dalam bentuk autobiografi, iaitu Kampung Boy and Town Boy, untuk menceritakan kehidupan di luar bandar dan di bandar dengan menyiratkan perbandingan antara kedua-dua persekitaran hidup itu.







Gaya kartun Lat disifatkan mencerminkan pengaruh-pengaruh awalnya, majalah komik The Beano danThe Dandy dari UK. Walau apapun, beliau mampu membuat cara ilustrasi sendiri dengan melukis orang kebanyakan dengan coretan dakwat yang tebal. Cara beliau melukis watak Melayu dicirikan dengan hidung bergelung tiga. Lat memberi tumpuan kepada kehidupan rumah tangga dan kanak-kanak disebabkan penyanjungannya terhadap Raja Hamzah sejak 1960-an. Rejabhad, seorang lagi kartunis tersanjung, merupakan pembimbing Lat yang memenuhi kartunis muda itu dengan kepekaan terhadap perkara-perkara dalam karyanya. Tumpuan Lat terhadap butir-butiran menjadi faktor beliau menjadi terkenal kerana karya-karyanya yang menarik semua lapisan masyarakat dengan cerita-cerita yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah.





Selain menulis dan menerbitkan kartun, Lat turut menceburi bidang animasi, pembarangan, dan taman tema yang menampilkan karya-karya ciptaannya. Nama dan karya-karyanya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa; kartunis luar negara seperti Matt Groening dan Sergio Aragonésmengagumi hasil seninya, manakala ada kerajaan luar negara yang mengundang Lat untuk melawat negaranya demi meluaskan pendedahan negaranya di mata dunia menerusi catatan pengalaman Lat di negara-negara sedemikian dalam bentuk kartun. Selepas 27 tahun berdiam dan bekerja di Kuala Lumpur, Lat berpindah balik ke Ipoh untuk menjalani kehidupan separa bersara yang lebih tenang.





Mohammad Nor Khalid lahir pada 5 Mac 1951 di sebuah kampung di Kota Baharu, Perak, Malaysia. Bapanya ialah seorang kerani kerajaan bersamaTentera Darat Malaysia, manakala ibunya ialah seorang suri rumah. Khalid merupakan kanak-kanak yang bermuka kebulatan, maka beliau diberi nama timangan "Bulat" oleh kaum keluarganya, tetapi kawan-kawannya memendekkan nama itu menjadi "Lat"; maka beliau paling dikenali dengan timangan ini di kampung dan kemudiannya di seluruh dunia. Lat ialah anak sulung dalam keluarganya. Beliau juga gemar bermain di hutan, dusun dan lombong timah bersama kawan-kawannya. Barang mainan mereka biasanya diubah suai dari barang-barang runcit seharian dan bahan-bahan alam. Lat gemar menconteng-conteng dengan bahan-bahan yang diberikan oleh ibu bapanya.Selain itu, beliau juga gemar menghabiskan masa lapang dengan membaca komik dan menonton televisyen; Lat mengidolakan kartunis tempatan Raja Hamzah yang terkenal kerana kisah-kisah kembara perwira Melayu. Pengulas dan sejarawan seni Malaysia, Redza Piyadasa percaya bahawa zaman kanak-kanak Lat di kampung menanamkan rasa bangga dengan asal-usul kampungnya serta pandangannya yang "sangat kemelayuan" dan "lemah-lembut dan berbudi pekerti".





Pendidikan formal Lat bermula di sebuah sekolah kampung yang mengajar dalam bahasa Melayu dan tidak mengharapkan pencapaian akademik. Anak kampung ini bertukar sekolah berkali-kali disebabkan pekerjaan bapanya yang terpaksa berpindah sekeluarga dari satu pangkalan tentera ke pangkalan lain, sehingga mereka menetap di tempat lahirna pada tahun 1960.Setahun kemudian, Lat lulus dalam Peperiksaan Special Malay Class dan layak untuk menghadiri seko lah asrama berpengantar bahasa Inggeris (National Type Primary School) di IpohPencapaian Lat membantu bapanya membuat keputusan supaya menjual estet kampung mereka lalu berpindah sekeluarga ke ibu negeri; masyarakat setempat pada zaman itu memandang tinggi pendidikan berpengantar bahasa Inggeris sebagai batu loncatan ke masa depan yang lebih cerah. Lat menyambung pelajarannya di Sekolah Anderson, "sekolah berpengantar bahasa Inggeris bukan mubaligh yang terulung" di Perak. Redza menitikberatkan perpindahan Lat ke Ipoh demi pelajaran yang lebih tinggi sebagai detik yang terpenting dalam perkembangan kartunis ini; persekitaran yang berbilang kaum membantu Lat beramah mesra dengan rakan-rakan yang berbilang latar belakang, sekaligus meluaskan perspektif kebudayaannya.





Sewaktu berusia 9 tahun, Lat mulai menamabah pendapatan keluarganya dengan memanfaatkan kemahiran seninya untuk melukis lalu menjual komik kepada rakan-rakannya. Empat tahun kemudian, pada tahun 1964, kartunis muda ini menjayakan karya terbitan sulungnya, Majallah Filem, yang menyiarkan jalur-jaluran komik lukisan beliau, untuk dibayar dalam bentuk tiket wayang. Buku komik terbitan sulung Lat, Tiga Sekawan Menangkap Pencuri, diterbitkan oleh Sinaran Brothers pada tahun itu juga. Syarikat itu menerima bahan-bahan yang diserahkan oleh Lat tanpa menyangkanya sebagai remaja lalu membayarnya $ 25 untuk satu cerita tentang tiga sekawan yang bersatu menangkap pencuri.  Pada tahun 1968, sewaktu berusia 17 tahun, Lat mula mengarang siri komik Keluarga Si Mamat untuk akhbar Berita Minggu (edisi Ahad Berita Harian). Siri tersebut tersiar dalam akhbar itu setiap minggu selama 26 tahun. Walaupun masih di bangku sekolah, namun Lat sudah meraih pendapatan $100 sebulan, satu jumlah yang lumayan pada zaman itu, atas rekaan kartun-kartunnya. Pendidikannya berkesudahan di akhir Tingkatan 5 sahaja dua tahun kemudian; Gred Ketiga yang diraihnya dari peperiksaan Senior Cambridge tidak memadai untuk beliau mara ke Tingkatan 6. Sebagai lepasan sekolah menengah sahaja, Lat mula mencari pekerjaan dan meletakkan harapan tinggi untuk menjadi seorang pengilustrasi.






No comments:

Post a Comment